Peluang Besar Seumur Hidup

Seorang sahabat rapat saya memperkenalkan saya kepada seorang kenalannya. Kenalan tersebut mendapat tawaran syarikat luarnegara untuk menjadi pengedar satu teknologi untuk rantau Asia. Saya amat tertarik dengan teknologi tersebut dan nampak berpotensi. Kenalan tersebut mengajak saya menjadi rakan kongsi iaitu menyediakan modal dan juga menjadi pengurusan kerja syarikat. Beliau akan menjadi CEO.

Namun kenalan tersebut mendesak-desak saya supaya segera menubuhkan syarikat dan menandatangani perjanjian dengan syarikat teknologi. Sekiranya tidak, tawaran sebagai pengedar itu akan lupus. Ini ialah peluang seumur hidup katanya. Saya pening kepala - patut jalan saja atau pikir kaji dahulu? Sayang kalau peluang terlepas!

Jawapan:

Apa latarbelakang kenalan tersebut? Sudah disiasat habis2an? Ini bukan tawaran untuk minum teh, tapi macam pinangan untuk tidur sebatal - dan awak yang sediakan katil, tilam, batal dan rumah!

Apa pengalaman awak dalam bisnes, industri dan teknologi tersebut?

Apa pelan bisnes, model bisnes, unjuran bisnes dan sebagainya?

Apa pulangan pelaburan?

Apa lagi yang perlu dikaji sebelum membuat keputusan?

Berhati2! Jangan terkabur pandangan dek keterujaan teknologi atau keterujaan idea2 terkini!

Berhati2! Jangan takut berkata "tidak apalah, saya tunggu peluang lain".

Ada banyak peluang dalam hidup. Rezeki ada di mana2. InsyaALLAH.

Tip2 Meningkatkan Jualan

Apakah strategi, teknik dan rahsia untuk meningkatkan jualan? Yang mana lebih penting - pemasaran, jualan, khidmat pelanggan, kualiti produk, jenama atau faktor lain? Bolehkah menjual di dalam ekonomi global yang merundun?

Jawapan:

Sebelum berbincang kesan ekonomi global ke atas jualan, dan sebelum mengupas rahsia2 meningkatkan jualan - kita mula daripada asas. Bila asas sudah jelas, strategi dan teknik lebih mudah dihayati.

Kalau berniaga, mesti tidak membenci matematik. Perlu faham konsep yang mudah2 saja, tidak perlu matematik tambahan. Sekurang2nya campur tolak mesti pantas, bukan terkial2 guna kalkulator untuk mengira tiga empat barang.

Berbalik kepada asas pengiraan jualan. Apakah formula mengira hasil jualan?

Hasil Bersih Jualan ("Net Sales") 
= [Bilangan pelanggan yang membeli produk/servis
x Jumlah produk/servis yang dibeli setiap pelanggan 
x Harga setiap produk/servis] -  Diskaun yang diberi

Apa kaitan formula dengan strategi meningkatkan jualan?.....

Bilangan Pelanggan

Makin banyak pelanggan, makin tinggi jualan!

Soalan yang perlu kita jawab ialah:
  • Apa cara mendapatkan pelanggan? 
  • Apa cara mengelakkan pelanggan lari?
  • Apa cara menambah bilangan pelanggan? 
  • Apa cara supaya pelanggan yang sama kembali lagi berkali2?
  • Apa cara agar pelanggan mengesyorkan kita kepada kawan2 mereka?
  • Apa cara mendapat pelanggan yang jauh daripada diri kita?

Jumlah Produk/ Servis Yang DiBeli Setiap Pelanggan

Makin banyak produk/servis yang dibeli pelanggan, makin tinggi jualan!

Soalan yang perlu kita jawab ialah:
  • Apa yang meyakinkan pelanggan agar percaya kepada kita?
  • Apa yang membuat pelanggan tertarik kepada produk/servis?
  • Apa yang menggerakkan pelanggan membeli produk/servis?
  • Apa yang boleh digabungkan untuk setiap pelanggan?
  • Apa produk/servis berkaitan yang boleh ditambah - di "productise", dibuat sendiri, dipakej dengan rakan kongsi atau dilesenkan?

Harga Setiap Produk/Servis

Makin tinggi harga, makin tinggi jualan!

Soalan yang perlu kita jawab ialah:
  • Apa kelebihan produk/servis kita kepada pelanggan?
  • Apa persepsi nilai faedah produk/servis yang pelanggan kecapi?
  • Apa yang kita boleh bezakan dengan produk/servis lain di pasaran?
  • Apa yang kita boleh ubah dan membuatkan pelanggan sanggup membayar lebih tinggi?
  • Apa yang boleh diturun harga agar jumlah jualan keseluruhan (termasuk produk/servis lain) meningkat?

Diskaun Yang Diberi

Makin sedikit diskaun, makin tinggi hasil bersih jualan!

Soalan yang perlu kita jawab ialah:
  • Apa matlamat strategik kita memberi diskaun?
  • Adakah jumlah jualan akan meningkat jika kita memberi diskaun?
  • Adakah kehilangan akibat diskaun akan dapat ditampung semula?
  • Adakah produk/servis pesaing yang sebaik dan serupa pakej kita?
  • Adakah bakal pelanggan ini serasi dan sejiwa dengan kita?

Dengan memahami dan berfikir untuk menjawab soalan2 di atas, kita dapat menjana idea2 untuk meningkatkan jualan. Bila ditambah dengan perbincangan bersama usahawan2 lain dan ditambah dengan banyak membaca - lebih banyak "rahsia2" akan terbongkar.

Di masa lain, kita akan ulas berbagai strategi2 dan teknik2 yang mampu meningkatkan jualan

Yang penting, dapat ilmu - amalkan dan laksanakan. Sedikit demi sedikit.


Boleh Berjayakah Idea Ini?

Bagaimana cara menilai sama ada idea bisnes saya boleh berjaya atau tidak?

Jawapan:

Menjadi lumrah seseorang sangat teruja dan amat yakin dengan idea bisnes sendiri. Mungkin memang benar idea tersebut mampu berjaya, walaupun orang lain memberi pandangan berbeza.

Namun, untuk mengurangkan risiko kesengsaraan di kemudian hari, lebih elok jika setiap idea itu dinilai secara objektif oleh tuan punya idea.

Setiap idea bisnes boleh dianggar mampu berjaya atau tidak (secara kasar) dengan menjawab soalan2 berikut dengan objektif:

1. Apa yang saya tawarkan dan siapa sasaran pelanggan saya?

Kalau masih tidak dapat menjelaskan dengan mudah apa yang ditawarkan, dan tidak ada sasaran khusus pasaran/pelanggan - jangan mula bisnes!

2. Kenapa sasaran pelanggan perlu apa yang saya tawarkan?

Apakah faedah produk atau servis anda kepada mereka daripada segi emosi, fizikal, kewangan, masa dan sebagainya? Perlu diingat pelanggan membeli berasaskan emosi, dan memberi alasan berasaskan logik.

3. Kenapa mereka membeli daripada saya dan bukan dari pesaing lain?

Apa kelebihan, keunikan atau perbezaan produk dan servis anda? Jika dikata masakan yang sedap, perlu dinilai dengan objektif - bukan hanya komen ibu bapa.

4. Bolehkah saya menyediakan pasukan, modal, strategi, proses, teknologi dan sumber2 yang diperlukan untuk memulakan dan menjalankan operasi bisnes?

Idea yang baik juga boleh gagal sekiranya perlaksanaan caca marba.

5. Mampukah Jualan melebihi Kos?

Tidak semestinya serta-merta untung. Namun amat penting mempastikan aliran tunai mencukupi untuk operasi bisnes.

Soalan (1) hingga (3) adalah soalan asas! Jika jawapannya positif, maka idea bisnes tersebut boleh dikembangkan lagi. Jika jawapannya negatif, maka idea bisnes tersebut perlu diolah lagi sehingga lebih meyakinkan.

Bisnes Apa Untung?

Bisnes apa yang boleh menguntungkan?

Jawapan:

Kalau kita lihat sekeliling, ada berbagai bisnes yang boleh untung. Surirumah duduk rumah, buat bisnes alihbahasa. Eksekutif syarikat, sambil menyambil buat kuih. Syarikat yang membuat kepala zip - buat kepala sahaja, zipnya orang lain yang buat!

Ada bisnes glamour, hari2 masuk media macam artis. Ada bisnes yang buat kerja di belakang, hanya pelanggannya yang tahu. Ada bisnes yang nampak kotor berdebu. Segala jenis bisnes boleh untung.

ALLAH swt buka pintu rezeki seluas-luasnya antara langit dan bumi!

Kita definisikan untung sebagai Jumlah Jualan lebih tinggi dari Jumlah Kos (Untung = Jualan - Kos).

Yang pertama, bisnes mesti ada jualan! Kalau buat bisnes nak jadi bos, tak payah buat bisnes. Sebab dalam bisnes, bos paling besar ialah pelanggan - bukan tuan punya bisnes. Kalau berlagak macam bos depan pelanggan, besar harapan tidak ada jualan.

Yang kedua, buat bisnes dengan kos yang seoptima mungkin. Kalau terlalu murah, kualiti mungkin hampas (tiada jualan). Kalau terlalu mahal, harga mungkin ditolak pelanggan (juga tiada jualan).

Yang ketiga, Jumlah Jualan mesti mengatasi Jumlah Kos (iaitu kos langsung dan kos tidak langsung).